32 tahun terpisah

Beijing: Selepas 32 tahun terpisah, seorang lelaki akhirnya disatukan dengan ibu bapanya baru-baru ini.

Penyatuan tiga beranak itu mengakhiri episod penculikan paling terkenal di republik itu sejak 1988.

Mao Yin berusia dua tahun ketika diculik di wilayah Shaanxi, sebelum dijual kepada keluarga lain dan dijaga sehingga dewasa.

South China Morning Post melaporkan, Mao yang kini menjalankan perniagaan pengubahsuaian dikesan polis Xian, awal Mei lalu.

Polis menggunakan kaedah pengesanan wajah untuk menganalisis gambar lama sebelum menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi tujuan pengesahan.

Selepas mendapat pengesahan identiti, polis menghubungi ibu Mao, Li pada sambutan Hari Ibu lalu.

“Ini hadiah terbaik saya terima pada Hari Ibu,” kata Li seperti dilaporkan agensi berita CCTV.

Dalam sidang media, dua beranak itu berpelukan dalam tangisan selepas dipertemukan kali pertama sejak 32 tahun lalu.

“Saya tidak mahu berpisah dengan kamu lagi,” kata Li.

Mao juga berharap dia dapat terus tinggal dan menjaga ibu bapa kandungnya selepas ini.

Mao hilang di Hotel Jinling di Xian selepas bapanya meninggalkan dia sendirian beberapa minit untuk mengambil air.

Ibu bapanya menghabiskan masa 32 tahun mencari Mao di seluruh China dengan mengedarkan lebih 100,000 risalah mengenai kehilangan anak mereka.