3,245 dijangkiti ‘brucellosis’ di China

Gansu, China: Ribuan penduduk di Lanzhou di sini, dijangkiti brucellosis, wabak yang menular berikutan kebocoran bakteria dari kilang yang membuat vaksin haiwan menggunakan virus berkenaan.

Pegawai kesihatan di bandar itu mendedahkan seramai 3,245 penduduk dijangkiti brucellosis, penyakit berpunca daripada bakteria yang lazimnya menjangkiti haiwan dan terdapat pada produk berasakan haiwan, lapor Mirror Online.

Brucellosis, bakteria yang membawa penyakit dikenali sebagai demam Malta atau Mediterranean itu boleh menyebabkan gejala seperti demam, sakit kepala, sakit otot dan keletihan.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), beberapa tanda dan gejala jangkitan penyakit itu mungkin berlanjutan untuk jangka masa panjang, ada juga jangkitan yang mungkin tidak akan hilang dan akan muncul timbul semula seperti arthritis atau bengkak pada organ tertentu.

Pada awal penularan penyakit itu, 1,401 orang diuji positif selepas pihak berkuasa menyaring hampir 22,000 penduduk di bandar itu yang dihuni 2.9 juta penduduk.

Pihak berkuasa bandar itu memaklumkan, tiada lagi kematian dilaporkan akibat penularan virus itu, manakala CDC menjelaskan kematian jarang berlaku akibat jangkitan penyakit itu.

Dalam pada itu, pihak berkuasa China mendapati, China Animal Husbandry Lanzhou Biopharmaceutical Factory, sebuah kilang biofarmaseutikal milik kerajaan didapati menggunakan pembasmi kuman yang tamat tempoh ketika penghasilan vaksin Brucella untuk haiwan antara Julai dan Ogos tahun lalu.

Ia menyebabkan bakteria berkenaan tidak dapat dibasmi dan dilepaskan dari kilang itu sehingga tersebar di sekitar kawasan .

Pelepasan bakteria itu menyebabkan hampir 200 individu di Institut Penyelidikan Veterinar Lanzhou dijangkiti penyakit virus itu pada Disember lalu.

Pihak berkuasa Lanzhou berkata, pengurusan kilang itu sudah memohon maaf awal tahun ini dan lesen mereka untuk menghasilkan vaksin itu sudah ditamatkan.

Semalam, Suruhanjaya Kesihatan Lanzhou menjelaskan, bakteria itu biasanya ditemui pada kambing biri-biri, lembu dan babi.

Suruhanjaya itu turut memaklumkan, 11 hospital awam menyediakan pemeriksaan dan rawatan percuma kepada pesakit yang dijangkiti penyakit itu bermula bulan depan.

Jangkitan Brucellosis pada manusia di China menurun sejak 1980-an berikutan pencegahan dan kawalan penyakit yang lebih baik.

Penularan penyakit ini pernah mengemparkan Bosnia pada 2008 dan menjangkiti kira-kira 1,000 penduduk di negara itu akibat penularan yang berpunca daripada kambing biri-biri dan ternakan lain.