40 minit lari di hospital

Jambi: Datuk Bandar Kota Jambi, Syarif Fasha mengambil inisiatif dengan berlari selama 40 minit sehari sepanjang rawatan Covid-19.

Beliau dan isterinya disahkan positif virus itu pada 12 September lalu dan kini menerima rawatan di Hospital Abdul Manap.

Syarif juga sering memuat naik perkembangan terkini kesihatannya menerusi media sosial.

Terbaru, tular rakaman video Syarif sedang bersenam di bahagian atas bangunan hospital berkenaan bersama isteri dan anaknya, lapor Kompas.com

Dalam video itu, Fasha kelihatan sihat dan berlari selama 40 minit tanpa henti.

“Syukur Datuk Bandar Fasha sudah bertambah sihat dan dia berlari selama 40 minit tanpa henti,” katanya menerusi akaun Facebook, Ahmad Fahrurozi.

Penularan video itu mendapat reaksi positif warga Jambi yang rata-rata memberikan kata-kata semangat kepada Fasha dan keluarga.

Menurut jurucakap Pasukan Menangani Covid-19 Kota Jambi, Abu Bakar, keadaan kesihatan Fasha semakin baik sehingga mampu berlari dengan cergas selama 40 minit.

“Namun pengesahan sama ada beliau sembuh sepenuhnya akan diketahui menerusi ujian yang akan dilakukan ke atasnya,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19