420 kg kokain dirampas di Wilayah Amazon

Lima: Pasukan keselamatan Peru merampas sejumlah 420 kilogram kokain di Lembah Sungai Apurimac, Ene dan Mantaro di wilayah Amazon, lapor agensi berita Xinhua, memetik Kementerian Pertahanan pada Isnin.

Dadah itu dirampas pada Ahad di daerah terpencil Megantoni di wilayah La Convencion, 1,029 kilometer tenggara Lima, ibu negara Peru.

Rondaan bersama tentera dan polis berjaya menggagalkan usaha untuk menyeludup 10 karung guni mengandungi dadah berkenaan, kata kementerian itu.

Agensi penguatkuasaan undang-undang Peru menjalankan operasi berterusan di kawasan lembah, yang menjadi lokasi operasi kartel dadah tempatan dan antarabangsa.

Pada awal 2020, Polis Peru merampas 18 tan dadah, kebanyakannya untuk pasaran Amerika Syarikat.