54 dihukum renung kubur mangsa Covid-19

Jakarta: Akibat tidak mematuhi protokol kesihatan yang ditetapkan kerajaan, seramai 54 individu dihukum merenung kubur mangsa korban Covid-19 di kawasan perkuburan Praloyo di Jalan Lingkar Timur Sidoarjo-Jawa Timur.

Mereka jalani hukuman jam 11.30 malam sehingga jam 12.15 tengah malam.

Mereka diminta duduk di sebelah kubur dalam keadaan diterangi lampu. Namun, tidak lama kemudian ia dipadamkan dan mereka diminta berdoa untuk mangsa terkorban.

Ketua Polis Sidoarjo, Pesuruhjaya Sumardji berkata, ia dilakukan sebagai pengajaran kepada mereka yang tidak memakai pelitup muka ketika pandemik Covid-19.

“Hukuman ini sengaja diberikan kepada mereka bagi memastikan masyarakat sedar mengenai kepentingan pemakaian pelitup muka,” katanya seperti dilaporkan Kompas.

Sementara itu, Detik.com melaporkan, di Jakarta Selatan, mereka yang tidak memakai pelitup muka didenda menyapu dan membersihkan kawasan pasar.

Operasi Masker dijalankan di kawasan itu minggu ini bagi mengesan individu yang tidak memakainya dan didenda membersihkan kawasan pasar berkenaan.

Memetik laporan Detik.com, mereka yang didapati ingkar memakai rompi berwarna oren yang tertera perkataan ‘pelanggar PSBB’ dan diarah menyapu kawasan pasar selama satu jam.

Ketua Pasukan, Nasrullah berkata, pesalah berkenaan diberikan dua hukuman iaitu denda dan kerja sosial.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19