5,797 individu ditahan terbabit jenayah berkaitan Covid-19

BEIJING: Hampir 5,800 individu yang disyaki membunuh pekerja kesihatan, menjual peralatan kesihatan rosak dan menipu mengenai sejarah perjalanan ditahan di China kerana melakukan jenayah berkaitan pandemik Covid-19, sejak Januari lalu, kata pejabat pendakwa raya negeri.

Antara kes termasuk seorang pelanggan memukul mati pelanggan lain yang mengingatkannya supaya memakai pelitup muka dalam pasar raya.

Satu lagi kes membabitkan seorang individu yang sengaja memotong kenderaan pekerja kesihatan, malah ada yang ditahan kerana menikam inspektor kesihatan dengan belati ketika mengambil suhu badan.

Ada segelintir yang didakwa kerana menggelapkan wang yang dikumpul untuk membantu pesakit Covid-19.

“Sejak Januari hingga Julai, seramai 5,797 individu ditahan, manakala 6,755 didakwa, kata Penasihat Rakyat Tertinggi dalam kenyataan, Khamis lalu.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menjelaskan berapa ramai lagi yang masih ditahan atau mereka yang sudah jatuh hukum.

China berjaya mengawal pandemik Covid-19, sejak pertama kali dikesan di Wuhan pada Disember 2019, menerusi pelaksanaan sekatan yang ketat, pengesanan kontak yang agresif dan pemantauan rapi terhadap kawasan kejiranan.

Negara itu juga menggunakan pelbagai aplikasi di telefon pintar untuk mengenalpasti lokasi seseorang individu bagi mengesan kemungkinan kes lebih cepat.

Pemakaian pelitup muka adalah diwajibkan di pasar raya, panggung wayang atau pengangkutan awam, malah kebanyakan penduduk memilih untuk memakainya ketika berada di luar rumah.

China melaporkan tiada jangkitan tempatan dalam tempoh beberapa hari lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19