7 lelaki perkosa wanita, cekik anak

New Delhi: Malang buat seorang wanita berusia 28 tahun apabila diperkosa bergilir-gilir oleh tujuh lelaki di Bihar, India pada Sabtu lalu.

Lebih menyedihkan, sebelum diperkosa, suspek turut mencekik anak lelaki wanita itu yang berusia lima tahun hingga mati di hadapan ibunya.

Ketua Polis, Manoj Kumar Pathank dari Balai Polis Murar mengesahkan menerima maklumat mengenai kejadian itu selepas bapa dan datuk mangsa membuat laporan terhadap tujuh suspek terbabit.

Menurut Manoj, mereka mengenali dua daripada tujuh suspek terbabit.

“Berdasarkan aduan diterima, kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke sebuah bank bersama anak lelakinya.

“Kedua-dua mereka tidak pulang ke rumah selepas itu dan ia mendorong keluarga melakukan pencarian sebelum menemui mayat budak lelaki berkenaan berhampiran kolam di kampung, kira-kira jam 3 pagi.

“Wanita berkenaan ditemui tidak jauh dari mayat anaknya,” katanya seperti dilaporkan The Sun.

Menurut Manoj, datuk mangsa mendakwa suspek membunuh cucunya di hadapan wanita berkenaan.

Wanita itu masih menerima rawatan di Hospital Sadar di Buxar dan dalam keadaan stabil.

Sementara itu, Superintendan Buxar, Neeraj Kumar Singh berkata, seorang suspek yang berusia 50 tahun sudah ditangkap.

Beliau berkata, pihaknya masih mengesan suspek lain.

“Doktor akan membuat pemeriksaan susulan terhadap wanita itu dan laporan lengkap perubatan dijangka diperoleh dalam waktu terdekat,” katanya.