79 bahan kimia berbahaya dijumpai di Pelabuhan Beirut

BEIRUT: Pakar ketenteraan Lubnan dan rakan sekutu dari Perancis menemui 79 bekas mengandungi bahan kimia berbahaya di Pelabuhan Beirut, lokasi berlakunya tragedi letupan maut awal bulan ini.

“Antara 14 dan 22 Ogos, sebanyak 25 bekas mengandungi asid hidroklorik dijumpai, serta 54 bekas bahan kimia lain dan andai berlaku kebocoran ia boleh mencetuskan bencana,” kata tentera Lubnan dalam satu kenyataan pada semalam.

Pada 4 Ogos, ibu kota Lubnan digemparkan dengan letupan kuat menyaksikan seluruh daerah berdekatan dengan kawasan pelabuhan turut mengalami kemusnahan, lapor agensi berita Sputnik.

Kejadian itu disebabkan 2,750 tan ammonium nitrat tidak disimpan dengan baik di Pelabuhan Beirut, mencetuskan letupan mengorbankan lebih 170 orang manakala lebih 40,000 yang lain cedera.

Ada beberapa laporan media baru-baru ini mengatakan jumlah kematian seramai 220 orang dan lebih 100 masih hilang.

Berikutan itu, kerajaan Lubnan mengisytiharkan darurat di Beirut.

Kira-kira seminggu selepas kejadian kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri Hassan Diab umum mengundurkan diri berikutan kemarahan rakyat, menyebabkan ribuan penunjuk perasaan mengadakan bantahan menggesa beliau meletakkan jawatan.