80 juta mengundi awal Presiden AS

Washington: Lebih 80 juta rakyat Amerika membuat undian awal menjelang Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) pada 3 November, lapor agensi Anadolu.

Hasil pengiraan oleh Projek Pilihan Raya AS mendapati seramai 80,721,858 mengundi awal, dengan majoriti – lebih 52 juta – diterima menerusi undi pos semalam.

Demokrat membentuk sebahagian besar daripada jumlah mereka yang mengundi awal, tetapi peratusannya semakin mengecil, turun lebih daripada 48 peratus pada Isnin.

Parti Republikan pula mencatat sebahagian besar perbezaan, meningkat kepada 29.7 peratus daripada jumlah keseluruhan undian, manakala pengundi tidak bersekutu atau kurang stabil membentuk 22 peratus.

Lonjakan undian awal mengatasi jumlah yang dilihat pada 2016, apabila sekitar 58 juta orang membuat undian awal, menurut beberapa laporan media.

Pengundi mula beralih kepada pengundian melalui pos dan pengundian awal di tempat mengundi tahun ini di tengah-tengah kebimbangan kesihatan yang ditimbulkan oleh pandemik Covid-19.

Presiden Donald Trump menganggap pengundian melalui pos sebagai terlalu terdedah kepada penipuan tetapi tidak menyokong tuntutannya itu dengan bukti.

Demokrat mendesak untuk memperluas undi melalui pos sebagai cara yang selamat untuk mengadakan pilihan raya di tengah-tengah pandemik itu, yang menjangkiti hampir sembilan juta orang di AS dan membunuh lebih 228,000.