9 maut minum cecair sanitasi

New Delhi: Sembilan individu di Andhra Pradesh maut akibat minum cecair sanitasi kerana kedai menjual minuman keras ditutup berikutan perintah berkurung untuk mengekang penularan Covid-19.

Kumpulan berkenaan tidak sedarkan diri selepas minum cecair itu yang dicampur air dan soda dalam jumlah yang banyak, kata Ketua Polis Kurichedu, Siddharth Kaushal kepada AFP.

Mereka kemudiannya dikejarkan ke hospital namun, disahkan meninggal dunia sebaik tiba di sana.

Kumpulan itu memilih cecair sanitasi sebagai ganti minuman beralkohol kerana bekalan dikurangkan selepas pihak berkuasa mengarahkan perintah berkurung di bandar berkenaan.

Kaushal berkata, siasatan ke atas kematian sembilan mangsa itu sedang dijalankan.

Ratusan individu di India maut akibat keracunan alkohol, kebanyakannya kerana mengambil minuman yang murah.

Penjual biasanya mencampur methanol, sejenis alkohol bertoksik tinggi ke dalam minuman keras yang dihasilkan untuk meningkatkan kandungan alkohol.