90,000 masjid Arab Saudi buka semula

Makkah: Lebih 90,000 masjid di Arab Saudi sedia dibuka pada Ahad ini selepas melalui proses nyah kuman, menurut Saudi Press Agency (SPA) semalam.

Kementerian Hal Ehwal Agama, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi memaklumkan pembukaan membabitkan masjid utama dan kecil seluruh negara, kecuali di Makkah.

Memetik laporan Gulf News, kerja pembersihan dan sanitasi oleh kementerian itu supaya masjid dibuka pada solat subuh Ahad, selepas lebih dua bulan ditutup.

Pembukaan itu tertakluk peraturan dan garis panduan yang wajib dipatuhi semua pihak.

Menterinya, Dr Abdul Latif Al Sheikh berkata, pihaknya melaksana beberapa kempen disiarkan di televisyen, radio, akhbar, portal berita dan laman sesawang dalam usaha menghebahkan prosedur pencegahan Covid-19 dan amalan kesihatan dalam pelbagai bahasa.

Hebahan itu turut menuntut jemaah patuh demi keselamatan diri mereka.

Antara ditekankan, membasuh tangan dengan cecair pembasmi kuman sebelum dan selepas ke masjid, manakala jemaah berusia dan pesakit kronik dinasihatkan bersolat di rumah.

Kementerian juga menyarankan jemaah yang ke masjid supaya membaca al-Quran secara dalam talian di telefon bimbit masing-masing atau membawanya dari rumah, selain menggunakan sejadah sendiri dan patuh penjarakan sosial dua meter.

Mereka yang di bawah 15 tahun dilarang menunaikan solat di masjid dan jemaah dituntut memakai pelitup muka dan elak berjabat tangan serta bersesak di pintu masjid.

Sepanjang tempoh penutupan itu, kementerian berjaya melakukan proses pembersihan nyah kuman mengikut piawaian antarabangsa ke atas lebih 10 juta masjid, 43 juta naskhah al-Quran pelbagai saiz, lebih 600,000 almari al-Quran dan membaik pulih 176,000 kolah air.