‘Abang sado’ hantar makanan

Tokyo: Sebuah restoran sushi di Jepun tampil dengan idea unik dengan menggunakan ahli bina badan sebagai penghantar makanan.

Perkhidmatan dikenali sebagai ‘Delivery Macho’ itu adalah cetusan idea daripada chef restoran itu, Masanori Sugiura.

Beliau yang juga atlit bina badan membuat keputusan untuk memperkenalkan khidmat itu selepas ramai rakannya yang bekerja di gimnasium hilang punca pendapatan akibat pandemik Covid-19.

Japan Times melaporkan pelanggan perlu membuat tempahan makanan dengan nilai minimum 7,000 yen (RM275) untuk perkhidmatan berkenaan.

Pelanggan juga dibenarkan untuk mengambil gambar penghantar makanan tetapi perlu mematuhi penjarakan fizikal.

Portal berkenaan melaporkan perkhidmatan berkenaan mendapat sambutan daripada pengguna Internet, Twitter.

Sugiura dilaporkan menerima sehingga 10 tempahan sehari dengan pendapatan bulanan daripada perkhidmatan itu mencecah 1.5 juta yen (kira-kira RM59,000).