Abe letak jawatan?

Tokyo: Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dijangka mengumumkan peletakan jawatannya disebabkan masalah kesihatan, lapor media tempatan Jumaat sejam sebelum beliau dijangka mengadakan sidang media.

“Abe berhasrat meletakkan jawatan memandangkan penyakitnya semakin teruk, dan dibimbangi akan menyebabkan masalah untuk meneraju negara, kata penyiar nasional, NHK, tanpa memetik mana-mana sumber.

Spekulasi mengenai kesihatan Abe berlegar beberapa minggu, dan tiba di kemuncaknya beberapa hari lalu selepas beliau dikatakan ke hospital sebanyak dua kali untuk menjalani pemeriksaan kesihatan yang tidak dinyatakan dengan jelas.

Abe dijangka mengadakan sidang media pada 5 petang (waktu tempatan), dan ‘beliau akan menjelaskan alasan peletakan jawatannya’ lapor NHK dan media tempatan lain.

Abe mengambil cuti selama tiga hari bulan ini dan pada 17 Ogos, beliau mengunjungi sebuah hospital tanpa dimaklumkan terlebih dahulu.

Beliau berada di hospital itu lebih tujuh jam untuk pemeriksaan kesihatan.

Abe kemudian ke hospital sama beberapa minggu selepas itu untuk ujian tambahan dan ketika itu beliau memaklumkan akan terus bekerja.