Adik Donald Trump meninggal dunia

Washington: Adik Donald Trump, Robert meninggal dunia pada Sabtu selepas dirawat di hospital berikutan penyakit yang tidak didedahkan.

“Dengan berat hati saya kongsikan bahawa adik saya, Robert meninggal dunia, malam tadi (Sabtu).

“Dia bukan hanya adik, tetapi sahabat baik saya. Dia akan sentiasa dirindui dan memori bersamanya kekal dalam hati selama-lamanya. Saya sayang kamu, Robert,” kata Presiden Amerika Syarikat itu dalam kenyataan dikeluarkan Rumah Putih.

Pada Jumaat, Donald sempat melawat Robert yang berusia 72 tahun di sebuah hospital di New York dan menghabiskan masa di sana selama 45 minit.

Beliau yang singgah di New York ketika dalam perjalanan ke kelab golf di Bedminster, New Jersey sebelum itu sempat memberitahu wartawan bahawa beliau sedang menghadapi masa yang sukar.

Robert yang dilahirkan pada 1948 kurang dikenali berbanding Donald, namun sangat setia kepada Presiden itu.

Mendiang dilapor pernah mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang penerbitan buku nukilan anak saudara, Mary Trump yang menggambarkan Donald sebagai produk ‘toksik’ dalam keluarga.

Robert menyelar dakwaan itu dan menganggapnya sebagai mengaibkan. Walaupun mahkamah membenar penangguhan penerbitan sementara, namun perintah itu ditarik balik pada Julai lalu.