Adik tembak kakak kahwin kali keenam

Islamabad: Berang kakaknya berkahwin untuk kali keenam, seorang lelaki di Pakistan menembak mati wanita berkenaan.

Ia selepas suspek, Abdullah Hashim, 22, merasakan perbuatan kakaknya berusia 30 tahun yang sering berkahwin itu mencemarkan nama baik keluarga.

Gulf News melaporkan pada mulanya, Waseem Amjad membuat laporan isterinya, Nighat Parveen, 30, diculik pada 17 Ogos.

Susulan itu, polis menjalankan siasatan sebelum mendapati lokasi terakhir wanita itu adalah di rumah keluarganya.

Ia berdasarkan panggilan terakhir dipercayai dibuat mangsa.

Menurut laporan media tempatan, hasil soal siasat, ahli keluarga mendakwa Nighat pergi ke Islamabad bersama rakannya.

Polis kemudian menyoal siasat Abdullah sebelum lelaki itu akhirnya mengakui membunuh kakaknya.

Lelaki itu dikatakan berbuat demikian ketika Nighat pulang ke rumah ibu bapanya.

Dia mengurung wanita itu di sebuah bilik sebelum menembak mati mangsa.

Berdasarkan keterangan kepada polis, suspek mendakwa kakaknya itu mencemarkan maruah keluarga sejak lapan tahun lalu.

Ia berikutan wanita itu menjadi bualan penduduk kampung kerana perkahwinannya yang sering tidak bertahan lama.

Susulan itu, polis memaklumkan menemui senjata digunakan untuk membunuh mangsa.