Adolf Hitler menang pilihan raya

Windhoek, Namibia: Seorang lelaki yang diberi nama Adolf Hitler memenangi pilihan raya peringkat wilayah di Namibia.

Adolf Hitler Uunona berjaya mengalahkan lawannya dengan 1,196 undian untuk merebut jawatan ahli majlis di Ompundja, wilayah Oshana.

Uunona mewakili parti South West Africa People’s Organisation (Swapo) yang juga kerajaan pusat di Namibia ketika ini.

Dia memaklumkan akhbar Jerman, Bild yang bapanya menamakannya sempena pemimpin Nazi itu tanpa menyedari impaknya.

“Ketika masih kecil saya lihat nama saya sebagai nama yang biasa. Ketika beranjak usia remaja, barulah saya faham siapa Adolf Hitler yang sebenar,” katanya.

Katanya, dia sedar bahawa sudah terlambat untuknya menukar kepada nama lain.

“Biasanya saya akan perkenalkan diri sebagai Adolf saja,” katanya seperti dilaporkan Independent.

Menurutnya, walaupun dia sudah memenangi pemilihan berkenaan, ia tidak bermakna dia mahu ‘menakluki dunia’.

“Saya juga menegaskan bahawa tidak mempunyai kaitan dengan ideologi Nazi,” katanya.