Agih keranda kuno ke beberapa muzium

Kaherah: Penemuan terkini keranda oleh arkeologi Mesir yang diumumkan pada Sabtu, akan diagihkan kepada beberapa muzium termasuk Muzium Besar Mesir (GEM) di dataran Giza yang belum dibuka.

Pembukaan GEM yang beberapa kali tertangguh, dijangka akan disempurnakan pada 2021.

Menteri Antik dan Pelancongan, Khaled al-Anany berkata, kerja penggalian masih dijalankan di kawasan penemuan Saqqara iaitu tempat pengebumian Memphis, ibu kota Mesir kuno yang juga Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Pada majlis pengumuman penemuan itu, ahli arkeologi membuka satu keranda untuk mendedahkan mumia yang dibungkus dengan kain kafan dan menunjukkan imej sinar-x yang memperlihatkan mayat dipelihara dengan baik.

AHLI arkeologi sedang membersihkan patung dan penemuan di makam di Saqqara. FOTO AFP.
AHLI arkeologi sedang membersihkan patung dan penemuan di makam di Saqqara. FOTO AFP.

“Saqqara masih belum mendedahkan keseluruhan isinya. Ia adalah harta karun.

“Setiap kali kami mengosongkan tapak keranda, kami menjumpai laluan masuk ke tempat lain,” kata Khaled yang mengaitkan penemuan itu terhadap banyaknya kerja penggalian dilakukan dalam beberapa tahun ini.

Terdahulu, Mesir mengumumkan penemuan lebih 100 keranda yang masih kukuh berusia lebih 2,500 tahun, milik pegawai tinggi Mesir di zaman Mesir kuno.

Turut ditemui lebih 40 patung dewa kuno dan topeng perkuburan selain dua patung kayu di makam hakim dinasti keenam, kata Setiausaha Agung Majlis Tertinggi Antikuiti, Mostafa Waziri.

Penemuan itu selepas sebulan pasukan arkeologi menemui 59 keranda sekitar tahun sama dan mereka berharap menemui bengkel kuno untuk pembuatan keranda kayu bagi mumia tidak lama lagi.

Mesir menjangkakan penemuan arkeologi akan mendorong kebangkitan sektor pelancongan yang terkesan sejak pemberontakan pada 2011 hingga wabak Covid-19, hari ini.