Ahli gusti lengan tikam mati wanita, kanak-kanak

Moscow: Gara-gara hutangnya belum dibayar, seorang ahli gusti lengan dan guru di Rusia hilang pertimbangan sebelum menikam mati seorang wanita dan anaknya.

Lapor Daily Mirror, Anna Abakumova, 38, dan anaknya Maria, 4, ditemui mati dengan 20 serta 10 kesan tikaman di rumah mereka di Saratov.

Mayat kedua-duanya ditemui anak sulung mangsa berusia 12 tahun dan bapa wanita itu, Viktor Marshalkin, 62.

Polis pada mulanya menahan bekas suami mangsa, Anton namun lelaki itu dibebaskan sebelum menahan Elena Shcherenko, 53, perias kuku dan tukang urut kedua-dua mangsa.

Menurut polis, suspek mengaku membunuh mangsa kerana Abakumova belum membayar hutangnya, 600 Pound Sterling (RM3,283).

Menurut kenyataan Jawatankuasa Penyiasat Rusia, berlaku pertelingkahan antara mereka ketika suspek menagih hutang di rumah mangsa.

Suspek mendakwa bertindak menikam tuan rumah dan anaknya bagi mempertahankan diri.

Suspek dilaporkan turut mencuri barangan kemas dan kad bank mangsa yang digunakannya untuk mengeluarkan hutang yang belum dibayar mangsa.

Jika sabit kesalahan, Shcherenko berdepan penjara 20 tahun.