Akaun twitter Modi digodam

New Delhi: Akaun Twitter Perdana Menteri India, Narendra Modi digodam susulan satu ciapan berkaitan mata wang kripto awal pagi Khamis.

Akaun twitter yang dihubung terus ke laman peribadi Perdana Menteri itu mempunyai lebih 2.5 juta pengikut.

Mengesahkan penggodaman itu, jurucakap Twitter berkata, pihaknya menyedari kegiatan berkenaan, dan sudah mengambil langkah sewajarnya untuk melindungi akaun terbabit.

“Kita sedang melakukan siasatan terperinci berhubung situasi itu. Ketika ini, kita dapati tiada akaun tambahan yang terbabit,” lapor Indiatoday.

Rangkaian ciapan yang dimuat naik adalah “Saya merayu kepada semua untuk menderma ke Tabung Bantuan Nasional untuk Covid-19, India kini mula menggunakan mata wang kripto. Derma boleh disalurkan ke 0xae073DB1e5752faFF169B1ede7E8E94bF7f80Be6 #eth #crypto,” katanya dalam ciapan di @narendramodi_in.

“Ya akaun ini digodam oleh John Wick ([email protected]), kami belum menggodam Paytm Mall,” satu lagi ciapan palsu yang dimuat naik.

Namun, ciapan itu sudah dipadamkan.

Pada 30 Ogos lalu, firma keselamatan siber, Cyble mendakwa kumpulan penggodam John Wick menjadi dalang penggodaman data secara besar-besaran di Paytm Mall, cabang e-dagang unicorn Paytm.

Cyble mendakwa kumpulan penggodam turut meminta wang tebusan, kerana mendapat akses tanpa had ke pangkalan data syarikat itu.

Paytm, bagaimanapun, mengatakan pihaknya tidak menemui sebarang pelanggaran data ketika siasatan dilakukan.