Aktivis bantah larangan pakai skirt pendek

Phnom Penh: Aktivis hak asasi manusia di Kemboja membantah cadangan kerajaan menguatkuasakan larangan memakai skirt terlalu pendek atau seksi.

Ia timbul ketika kerajaan pimpinan Perdana Menteri Hun Sen dikatakan mahu memperkenalkan rang undang-undang berkenaan bagi memastikan tiada pelanggaran budaya dan tradisi oleh wanita di negara itu.

Inisiatif pihak berwajib itu menimbulkan banyak kritikan daripada aktivis masyarakat dan sosial di sana.

Molika Tan, 18, berpendapat, rang undang-undang itu menyekat kebebasan perempuan mengenakan pakaian selesa dan bersesuaian.

“Sebagai anak muda di Kemboja, saya ingin keluar rumah dengan perasaan aman dan memakai pakaian selesa.

“Saya yakin ada cara lain menegakkan tradisi budaya daripada sekadar melarang perempuan mengenakan skirt pendek,” katanya.

Petisyen dalam talian yang dibuatnya sejak bulan lalu mendapat 21,000 tandatangan dan sokongan.

Difahamkan, undang-undang itu diperkenalkan tahun hadapan selepas pelbagai kementerian dan agensi kerajaan yang berkaitan bersetuju mengenainya.

April lalu, seorang perempuan dijatuhkan hukuman enam bulan penjara kerana memperagakan pakaian seksi ketika berurusan jual beli di media sosial.

Bagaimanapun, setiausaha di Kementerian Dalam Negeri Kemboja Ouk Kimlekh berkata, rang undang-undang berkenaan masih di peringkat draf pertama.