Ali Ayman maut ditembak tentera Israel

Ramallah: Seorang remaja lelaki Palestin meninggal dunia selepas terkena tembakan peluru hidup yang dilepaskan tentera Israel ketika satu demonstrasi di Tebing Barat.

Mangsa, Ali Ayman Nasr Abu Aliya, 13, parah selepas terkena peluru di bahagian perutnya di sebuah kampung di Mughayir.

Bagaimanapun, dia kemudian disahkan meninggal dunia sebaik tiba di sebuah hospital di sini.

Dalam pada itu, Wakil Khas Timur Tengah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Nickolay Mladenov menerusi Twitter berkata, beliau terkejut dengan kejadian dengan pembunuhan remaja berkenaan.

“Israel mesti secara bebas dan segera menyiasat insiden mengejutkan ini,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Luar Palestin berkata, pihaknya akan mengemukakan pendakwaan terhadap Israel di Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Pihak Berkuasa Palestin (PA) mengutuk kejadian berkenaan sebagai pembunuhan kejam dan menyifatkannya, insiden keganasan terbaharu Isreal terhadap rakyat Palestin.

Agensi berita rasmi Palestin WAFA pula melaporkan, Datuk Bandar Mughayir, Amin Abu Aliya berkata, tentera Isreal menggunakan keganasan untuk menyuraikan peserta demonstrasi yang membantah penempatan haram Yahudi.

Empat lelaki lain turut cedera akibat terkena tembakan tentera Isreal, lapor WAFA.

Bagaimanapun, tentera Israel menafikan menggunakan peluru hidup.

Jurucakap tentera Israel memberitahu AFP bahawa penunjuk perasaan membaling batu kepada mereka.

Perkampungan penduduk Palestin di Mughayir terletak berhampiran beberapa penempatan haram Yahudi dan menjadi lokasi pertempuran antara penduduk Palestin dan tentera Israel, sebelum ini.

Ia juga terletak berhampiran dengan kawasan Ras al-Teen, lokasi di mana Israel mengancam untuk merobohkan sekolah, iaitu langkah yang dikutuk oleh Kesatuan Eropah.

Israel sudah menjajah Tebing Barat sejak 1967.

Terdapat lebih 450,000 penduduk Isreal tinggal di kawasan berkenaan, yang menjadi tempat tinggal bagi lebih 2.8 juta rakyat Palestin.