Amukan bekas ratu cantik

Moscow: Seorang bekas ratu cantik di Rusia ditahan polis selepas disyaki melakukan cubaan membunuh dengan menikam seorang pekerja di pasar raya.

The Sun memetik sumber rasmi melaporkan Natalya Dolganobskaya, 32, dilaporkan menjerit dan menyatakan kebenciannya terhadap mangsa sebelum menikam wanita itu berulang kali dengan pisau.

Serangan itu dipercayai dilakukan secara rawak dan ia sempat dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan.

Berdasarkan rakaman itu, Dolganobskaya dilihat melakukan serangan itu di bahagian sayuran dan buahan di dalam pasar raya berkenaan.

Kekecohan itu hanya reda selepas seorang pekerja dan pelanggan meluru ke arah mangsa bagi memberikan bantuan kecemasan.

Pekerja itu berjaya merampas pisau daripada Dolganobskaya selepas ia terjatuh di atas lantai.

Pada masa sama, mangsa dibantu seorang pelanggan yang membantu membalut luka pada tangannya.

Mangsa mengalami tujuh kecederaan pada bahagian kepala, leher, tangan dan tulang belakangnya.

Susulan kejadian, dia dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital dan pulih selepas menerima rawatan.

Seorang saksi memberitahu dia melihat Dolganobskaya tiba-tiba mengamuk di dalam pasar raya berkenaan.

Menurut rekod, Dolganobskaya dimahkotakan sebagai Miss Ulyanovsk pada 2005 iaitu ketika dia berusia 18 tahun.

Wanita itu kemudiannya berkahwin dengan seorang usahawan dan ahli politik, namun mereka berpisah selepas enam tahun mendirikan rumah tangga.

Dolganobskaya kemudiannya meneruskan hidup dengan bekerja semula di kedai milik bekas suaminya dan dilaporkan berdepan kesulitan dalam hidup.