Anak bunuh ibu, biarkan mayat selama 4 bulan

Madrid: Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun di selatan Sepanyol tergamak membunuh ibunya ketika sekatan perintah pergerakan.

Malah, selepas melakukan perbuatan itu, dia dengan selamba meneruskan kehidupan seharian seakan tidak ada apa-apa yang berlaku.

Remaja itu dikenali sebagai Teri turut membiarkan mayat ibunya, Ana, 45, di bilik mandi pangsapuri mereka selama kira-kira empat bulan.

Situasi itu menyebabkan bau busuk daripada mayat ibunya yang mereput dihidu oleh jirannya yang tinggal di bangunan sama.

Setiap kali jiran bertanya di mana ibunya, Teri memberitahu Ana akan pulang ke rumah tidak lama lagi.

Rahsia Teri hanya terbongkar selepas dia memberitahu kepada seorang rakan lelakinya bahawa dia sudah menikam ibunya sehingga mati.

Susulan kejadian, lelaki itu melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa.

Daily Mirror yang memetik laporan Olive Press berkata, polis kemudian menyerbu pangsapuri dihuni remaja itu sebelum menemui mayat mangsa.

Susulan itu, Teri dan teman lelakinya yang berusia 19 tahun ditahan kerana disyaki membunuh Ana.

Berdasarkan siasatan polis, Teri dan teman lelakinya itu tinggal bersama Ana di tingkat empat sebuah pangsapuri.

Ketika disoal siasat, Teri mengakui membunuh ibunya.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak dapat memastikan tarikh sebenar mangsa dibunuh.

Ia berikutan keadaan mayat mangsa yang sudah mereput.

Namun, polis percaya wanita itu dibunuh pada April lalu.