Anak Krakatau meletus

GUNUNG berapi Anak Krakatau di Lampung meletus pada 9.58 malam waktu Indonesia Barat, semalam.

Kompas.com melaporkan, berdasarkan maklumat Kementerian Energi Sumber Daya Mineral (KESDM), Badan Geologi dan Pusat  Vulkanologi dan Mitigasi  Bencana Geologi (PVMBG), gunung berapi yang meletus itu mengeluarkan asap dan abu sekitar 200 meter di atas puncak atau 357 meter dari permukaan laut.

Letusan itu terjadi dengan amplitud maksimum 40 milimeter (mm) dalam tempoh 72 saat.

Rakaman sewaktu  letusan gunung berapi sempat dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV).

Ketika ini, gunung berapi itu dilaporkan berada pada tahap dua iaitu di peringkat waspada.

Berikutan itu, KESDM mengingatkan penduduk setempat dan pelancong supaya tidak menghampiri atau berada di radius dua kilometer dari kawasan gunung berapi.

Sebelum ini, tular di laman sosial mengenai bunyi dentuman di sekitar Bogor, Depok dan Jakarta pada waktu petang.

Bagaimanapun, bunyi itu bukannya datang daripada gunung berapi berkenaan.

Menurut rekod, gunung berapi Anak Krakatau pernah meletus pada 2018 dan mencetuskan Tsunami hingga mengorbankan ratusan nyawa.