Anak Trump positif Covid-19

New York: Bekas supermodel yang juga isteri Presiden Amerika Syarikat, Melania Trump mendedahkan mengenai anaknya, Barron Trump, 14, yang kini turut disahkan positif Covid-19.

Menurutnya, ketika dia dan suami, Donald Trump disahkan positif selepas menerima keputusan ujian, timbul kerisauan kepada anaknya.

“Seperti yang anda sedia maklum, dua minggu lalu, saya disahkan positif Covid-19. Lebih menyedihkan, suami saya dan juga ketua komander negara kita juga turut positif.

“Keputusan ujian Barron yang negatif pada ketika itu meredakan kerisauan saya, namun pada masa sama, saya terfikir apa akan berlaku pada hari-hari berikutnya. “Mimpi ngeri saya menjadi kenyataan apabila Barron sekali lagi menjalani ujian dan keputusannya, positif,” katanya dalam satu hantaran blog.

Tambahnya, anaknya juga tidak menunjukkan sebarang simptom.

“Dia adalah remaja yang kuat dan tak ada menunjukkan sebarang simptom.

“Pada masa sama, mujurlah kami bertiga menerima ujian ini dalam masa sama. Jadi, dapatlah kami luangkan masa bersama dan menjaga satu sama lain,” katanya. Berkongsi mengenai pengalamannya, Melania berkata dia hanya menunjukkan simptom minimum.

“Saya mengalami sengal-sengal badan, batuk, sakit kepala dan rasa sangat letih sepanjang masa,” katanya.

Melania sudah diuji semula dan disahkan negatif.

Sebelum ini, dia dan suaminya disahkan positif pada 2 Oktober sebelum menjalani kuarantin.

Kira-kira 10 hari selepas itu, Trump mengumumkan negatif daripada Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19