Anggota tentera antara 22 dijangkiti Covid-19

Bangkok: Sebanyak 22 kes baharu Covid-19 dilaporkan di Thailand, menjadikan keseluruhan kes meningkat kepada 3,545, semalam.

Portal Bangkokpost.com melaporkan, 16 daripada kes dari Selatan Sudan; empat dari India dan masing-masing satu dari Pakistan dan Filipina.

Pusat Pentadbiran Situasi Covid (CCSA) berkata, semua 16 kes baharu dari Selatan Sudan membabitkan anggota tentera yang pulang dari misi pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) negara Afrika.

Mereka kembali ke Thailand Selasa lalu dan dikuarantin di daerah Chon Buri.

Ujian calitan yang dilakukan pada Sabtu menunjukkan mereka positif Covid-19, namun kesemua mereka tidak menunjukkan sebarang gejala.

Mereka kemudian dipindahkan ke Hospital Phramongkutklao untuk rawatan lanjut.

Sementara, seorang anggota tentera berusia 24 tahun yang belajar di Filipina turut disahkan positif Covid-19 pada Sabtu.

Selain itu, pelajar lelaki warga Thailand berusia 13 tahun dari Pakistan turut disahkan positif selepas ujian kedua pada Sabtu.

Remaja ini tiba di Thailand pada 13 September dan tidak mempunyai gejala.

Empat kes baharu dari India pula membabitkan warganegara berkenaan, yang mana tiga daripada mereka tiba pada Rabu dan disahkan positif Covid-19 pada Sabtu.

Mereka terdiri daripada seorang wanita berusia 35 tahun bersama anak perempuan berusia tujuh tahun dan seorang ahli perniagaan berusia 38 tahun.

Kes keempat membabitkan seorang lelaki berusia 30 tahun yang tiba di Thailand pada Jumaat dan disahkan positif pada hari sama.

Kesemua mereka juga tidak menunjukkan sebarang gejala.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19