Angkara degil, remaja dibawa melihat keranda mangsa Covid-19

Jakarta: Pegawai Unit Polis Perkhidmatan Awam (Satpol PP) membawa empat remaja yang melanggar petugas operasi penguatkuasaan pemakaian pelitup muka (Tibmask) di daerah itu melihat keranda mangsa Covid-19 sebagai usaha memberi kesedaran kepada mereka.

Memetik laporan Antaranews.com, pendekatan itu diambil sebagai peringatan supaya orang ramai tidak ingkar peraturan penggunaan pelitup muka dalam usaha negara mengekang penularan pandemik Covid-19 di ibu negara.

Tinjauan Antara mendapati keempat-empat remaja berkenaan diarahkan petugas Satpol PP supaya hadir ke lokasi pemasangan monumen Covid-19 untuk melihat sendiri keranda berkenaan.

“Kamu tahu peti apa ini kan? Tahu bahaya Covid-19. Kamu boleh diletakkan ke dalam peti ini.

“Jadi, jangan lupa pakai pelitup muka. Tak susah pun. Pelitup muka juga mudah diperoleh sekarang dengan harga berpatutan,” kata seorang petugas Satpol PP kepada keempat-empat remaja berkenaan di hadapan keranda yang akan dipasang sebagai monumen Covid-19 di depan Stesen Mangga Besar, Jakarta.

Mereka hanya mengangguk selepas mendengar penjelasan petugas berkenaan.

Selesai mendengar penjelasan petugas, mereka kembali ke balai polis Daerah Karang Anyar untuk menandatangani Laporan Rasmi Kes kerana melanggar peraturan penggunaan pelitup muka.

Sebelum itu, keempat-empat remaja berkenaan melanggar seorang petugas Satpol PP di Jalan Lautze, Karanganyar, Jakarta kerana ingkar arahan memakai pelitup muka.

“Kita sedang melakukan operasi penguatkuasaan pemakaian pelitup muka sebelum empat remaja yang menunggang motosikal dari arah Jalan Lautze.

“Mereka tidak memakai pelitup muka, mungkin panik selepas melihat petugas mereka cuba melarikan diri, sebelum melanggar seorang petugas,” pegawai polis Darwis Silitonga.

Kejadian menyebabkan petugas berkenaan, Jaani cedera dan lebam di bahu tangan kanan.