Arca ikan mengaibkan!

Rabat: Dua patung ikan dikatakan mirip alat sulit lelaki menimbulkan kemarahan warganet dan dirobohkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Mehdia berhampiran Kenitra, Maghribi.

Memetik laporan portal Morocco World News, gambar patung ikan itu menjadi tular di media sosial menyebabkan agensi berkaitan merobohkan arca patung kontroversi itu.

Patung dua ikan itu mencetuskan ejekan dan kemarahan di media sosial di Maghribi apabila dikatakan mirip alat sulit lelaki hingga mengundang pelbagai komen jelik, malu, geli, bingung dan kecewa.

“Penduduk di Kenitra dan Mehdia memberitahu PBT mereka mahukan pembaharuan di bandar dan tidak sangka agensi berkenaan membina patung ini,” tulis satu catatan.

“Ikan pornografi. Orang di Kenitra meminta pembaharuan, pihak berkuasa (membawanya), ” kata seorang lagi pengguna media sosial.

Penduduk berpendapat, pantai di Mehdia dan Kenitra menjadi lokasi tumpuan pelancong dan sepatutnya arca ikan itu tidak dibina dalam keadaan mengaibkan.

Pihak berkuasa bandar Kenitra dalam satu kenyataan di Facebook menafikan mempunyai kaitan dengan pembinaan patung dianggap tidak bermoral itu.