Armando RM6 juta!

Brussels: Seekor burung merpati diberi nama Armando menjadi burung termahal pernah dijual di dunia apabila dilelong dengan harga 1.25 juta euro (kira-kira RM6 juta).

Media Belgium melaporkan, burung yang diberi jolokan ‘Merpati Lewis Hamilton’ dan ‘pelumba jarak jauh terbaik Belgium’ itu dibeli seorang individu dari China dengan rekod harga jualan paling tinggi.

Harga jualan Armando memecahkan rekod dicatat merpati diberi nama Nadine yang dijual pada harga 376,000 euro (kira-kira RM1.8 juta).

“Armando menjadi burung merpati termahal yang pernah dijual dalam lelongan dalam talian,” tulis laman web pakar Pigeon Paradise.

Bagaimanapun, Pigeon Paradise tidak menyatakan identiti pembeli burung merpati itu.

Tetapi menurut agensi berita tempatan, pembeli berkenaan adalah individu berasal dari China yang mahu membiakkan baka Armando.

Malah, nilainya yang tinggi menyebabkan burung itu dilaporkan kini dikawal oleh pengawal peribadi bagi mengelak haiwan itu dicuri.

Armando adalah salah satu daripada lebih 100 burung yang dijual oleh penternak berasal dari Belgium, Joel Verschoot, pada tahun lalu.

Individu itu mengadakan lelongan merpati di dalam taliannya dan bidaan dibuka selama beberapa minggu.

Perlumbaan burung merpati juga sudah menjadi acara tradisi bagi masyarakat di Belgium, Britain, utara Perancis dan Belanda.

Burung merpati sering dilepaskan untuk berlumba beratus-ratus kilometer dan burung pertama kembali ke rumah akan diisytihar sebagai pemenang.

Tetapi acara ini sudah menarik minat pembeli dari Asia dalam beberapa tahun kebelakangan ini.