AS arah konsulat China di Houston ditutup

Beijing: Amerika Syarikat (AS) mengarahkan China untuk menutup konsulatnya di Houston dalam ketegangan diplomatik yang berlangsung antara kedua-dua kuasa dunia itu.

Pengumuman yang dibuat hari ini mencetuskan kemarahan Beijing, yang berjanji akan membalas perbuatan itu selepas kedua-dua negara bertengkar berkaitan pelbagai isu dari perdagangan hingga pandemik Covid-19 serta dasar China di Hong Kong, Xinjiang dan Laut China Selatan.

“Kami telah mengarahkan penutupan Konsulat Jeneral China di Houston, untuk melindungi harta intelektual AS dan maklumat peribadi orang Amerika,” kata jurucakap Jabatan Negara, Morgan Ortagus kepada wartawan pada lawatan Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo ke Copenhagen.

Menurutnya, di bawah Konvensyen Vienna, negara-negara “mempunyai kewajiban untuk tidak campur tangan dalam urusan dalaman” negara penerima, tetapi tidak ada perincian lebih lanjut mengenai alasan di sebalik keputusan itu.

Sebelum berita itu muncul, bomba dan polis dipanggil ke bangunan konsulat di Texas pada Selasa malam atas laporan bahawa terdapat dokumen sedang dibakar di halaman bangunan itu, menurut media tempatan.

Hantaran di Twitter pasukan polis Houston mengatakan bahawa terdapat asap kelihatan di situ, namun mereka ‘tidak diberikan akses memasuki bangunan’.

Di Beijing, jurucakap Kementerian Luar, Wang Wenbin mengatakan bahawa China diberitahu semalam bahawa konsulat harus ditutup, menyebutnya sebagai “tindakan keterlaluan dan tidak adil yang akan mensabotaj hubungan China-AS”.

“China mendesak AS untuk segera menarik keputusan yang salah itu, atau China pasti akan mengambil respons yang tepat dan perlu.

“Ini adalah provokasi politik yang dilancarkan oleh pihak AS, yang secara serius melanggar undang-undang antarabangsa dan perjanjian konsular dua hala antara China dan AS,” katanya dalam sesi penerangan media.

Terdapat lima konsulat China di AS, termasuk satu kedutaan di Washington.

Akhbar Global Times melancarkan undian di Twitter meminta orang ramai memilih konsulat AS di China yang harus ditutup, sebagai maklum balas kepada penutupan konsulat China di AS.

AS mempunyai pejabat kedutaan di Beijing dan lima konsulat di China serta satu di Hong Kong.