AS batal 1,000 visa pelajar, penyelidik China

Washington: Amerika Syarikat (AS) membatalkan visa lebih 1,000 pelajar dan penyelidik dari China, dengan ada antaranya dituduh melakukan pengintipan.

Jabatan Negara AS dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, langkah itu dilaksanakan selepas mendapat arahan daripada Presiden Donald Trump.

Trump menerusi satu proklamasi pada 29 Mei mengumumkan ada rakyat China yang memasuki AS dengan visa pelajar untuk mencuri harta intelek dan membantu usaha pemodenan ketenteraan China.

“Pelajar dan penyelidik yang berisiko tinggi itu adalah jumlah kecil berbanding rakyat China yang mendapat visa untuk memasuki AS

“Kami (AS) sentiasa mengalu-alukan kemasukan pelajar dan penyelidik dari China yang tidak bertujuan untuk membantu matlamat Parti Komunis China bagi meningkatkan aspek ketenteraannya,” kata jurucakap jabatan itu dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, kenyataan sama tidak memperincikan identiti pemilik visa atas alasan undang-undang berkaitan privasi.

Hampir 370,000 pelajar dari China memasuki universiti di AS antara 2018 dan 2019.

Ia adalah bilangan tertinggi untuk pelajar asing dan menjadi sumber pendapatan kepada institusi pendidikan di AS yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, ada pihak mempersoalkan perintah Trump itu yang didakwa menimbulkan curiga berhubung niat pelajar Asia melanjutkan pelajaran di AS.

Tetapi, pegawai AS berkata, bilangan kes pengintipan membabitkan China melonjak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada Jun, AS menutup konsulat China selepas pentadbiran Trump mendakwa China cuba mencuri kajian universiti berhubung Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19