AS catat 70,000 jangkitan baharu Covid-19 dalam 24 jam

Washington: Untuk hari kedua berturut-turut, Amerika Syarikat (AS) semalam mencatatkan lebih 70,000 kes baharu Covid-19 dan lebih 1,000 kematian dalam tempoh 24 jam, menurut rekod yang dikeluarkan Johns Hopkins University.

Negara paling teruk dilanda pandemik itu mencatatkan 73,795 kes baharu dengan 1,157 kematian tambahan, kata universiti yang berpusat di Baltimore itu.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan Covid-19 negara itu mencecah 4.1 juta dengan 145,324 kematian.

Seramai 1.26 juta orang telah sembuh dari penyakit itu.

Selepas penurunan kadar jangkitan pada akhir musim bunga, AS menyaksikan peningkatan kes Covid-19, terutama di negeri-negeri selatan dan barat seperti California, Texas, Alabama dan Florida.

Untuk 11 hari terakhir, jumlah kes baharu yang dilaporkan setiap hari melebihi 60,000.

Saintis bersetuju bahawa kenaikan kadar kematian berikutan peningkatan jangkitan dalam tiga hingga empat minggu kebelakangan.

Selepas konsisten melepasi 500 kematian sehari sekitar akhir bulan Jun, jumlah korban harian selama tiga hari terakhir ini melebihi 1,000.