AS dijangka memulakan vaksinasi Covid-19 Disember ini

Washington: Amerika Syarikat (AS) berharap dapat memulakan proses vaksinasi Covid-19 awal Disember ini membabitkan 20 juta penduduk, kata pegawai kesihatan awam semalam ketika kes jangkitan melonjak di seluruh negara itu.

Permulaan vaksinasi itu berupaya menjadi perubahan penting dalam memerangi virus yang sudah meragut lebih daripada 1.4 juta nyawa di seluruh dunia, termasuk 255,000 orang di AS, sejak wabak itu muncul di China akhir tahun lalu.

Setakat ini, vaksin yang dibangunkan Pfizer bersama rakan niaganya dari Jerman BioNTech dan Moderna yang dihasilkan syarikat dari AS terbukti 95 peratus berkesan dalam percubaan klinikal, malah Pfizer sudah memohon persetujuan penggunaan kecemasan daripada pihak berkuasa kesihatan AS.

“Rancangan kami adalah untuk menghantar vaksin ke tempat imunisasi dalam tempoh 24 jam selepas mendapat kelulusan (dari Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) AS),” kata Moncef Slaoui, yang mengetuai pelan vaksin Covid-19 kepada CNN dengan menunjukkan kemungkinan program vaksinasi itu akan bermula 11 atau 12 Disember depan.

Penasihat vaksin FDA akan membincangkan kelulusan penggunaan vaksin itu pada 10 Disember ini.

Slaoui menganggarkan 20 juta penduduk di AS dapat divaksinasi pada Disember ini, diikuti 30 juta penduduk sebulan selepas itu.

Bagaimanapun, pakar penyakit berjangkit AS, Anthony Fauci berkata, meskipun mungkin 20 juta penduduk akan dapat vaksin pada pertengahan hingga akhir Disember, keadaan boleh menjadi lebih buruk jika penduduk negara itu gagal mengambil langkah berjaga-jaga pada musim percutian akan datang.

“Kami berada dalam situasi yang sangat sukar di semua peringkat,” katanya kepada CBS.

Slaoui berkata, apabila 70 peratus populasi divaksinasi menjelang Mei tahun depan, negara itu dapat mencapai ‘imuniti kawanan’ yang bermaksud virus itu tidak lagi dapat tersebar meluas.

Bagaimanapun Fauci dalam kenyataan berasingan mengatakan imuniti kawanan hanya akan berlaku jika kelompok besar divaksinasi dengan vaksin yang sangat berkesan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19