AS mahu isytihar China lakukan genosid etnik Uighur

Washington: Beberapa senator Amerika Syarikat (AS) menuntut pengisytiharan bahawa China melakukan genosid (pembunuhan besar-besaran) kepada masyarakat Uighur dan penduduk Islam lain yang bertutur dalam bahasa Turki, di negara berkenaan.

Resolusi itu akan dikemukakan oleh senator yang mewakili pelbagai fahaman politik, namun ia dijangka tidak dapat dibentangkan dalam masa terdekat ini memandangkan Senat tidak bersidang sehingga selepas pilihan raya presiden, minggu depan.

Berdasarkan teks resolusi berkenaan, kempen China terhadap etnik Uighur, Kazakhs, Kyrgyz dan kumpulan minoriti Muslim lain di wilayah autonomi Xinjiang adalah genosid.

“Resolusi ini mengenal pasti jenayah berkenaan dan ia adalah langkah pertama untuk meletakkan kesalahan kepada China atas perbuatan yang kejam ini,” kata Senator John Cornyn, ahli Parti Republikan yang menaja resolusi berkenaan.

Senator Jeff Merkley dari Parti Demokrat pula berkata, resolusi itu akan menunjukkan bahawa AS tidak akan berdiam diri berhubung isu berkenaan.

“Penindasan China terhadap etnik Uighur dan masyarakat minoriti lain termasuk dengan tindakan pengawasan, pemenjaraan, penyiksaan dan kem pemulihan, jelas adalah genosid,” katanya.

Selain itu, resolusi itu turut ditaja oleh Marco Rubio, pegawai kanan yang rapat dengan Presiden Donald Trump berhubung hal ehwal hubungan luar negara; dan Robert Menendez, ahli parti Demokrat yang menjawat jawatan penting dalam Jawatankuasa Hubungan Luar Negara Senat.

Kumpulan berhaluan kanan berkata, lebih sejuta etnik Uighur berada di dalam kem tahanan di wilayah Xinjiang yang didakwa langkah secara paksa mengintegrasikan masyarakat itu dengan penduduk lain China dan menghapuskan warisan Islam.

Bagaimanapun, China berulang kali menafikan dakwaan berkenaan dengan memberi alasan bahawa kem itu adalah pusat latihan vokasional untuk mengajar pelatih dengan kemahiran dan mengelak elemen radikal dalam masyarakat.