AS putus hubungan dengan WHO

Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata, negara itu kini putus hubungan dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Kami pada hari ini memutuskan hubungan dengan WHO dan akan menyalurkan dana kepada badan dunia lain yang keperluan kesihatan awamnya lebih mendesak,” katanya pada sidang media di Rumah Putih, semalam seperti dilapor Xinhua.

Dalam surat kepada Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus awal bulan ini, Trump mengancam untuk memotong dana secara kekal dan menilai semula keanggotaan mereka, jika badan antarabangsa itu tidak mahu beri komitmen terhadap apa yang disebut “peningkatan substantif dalam 30 hari mendatang.”

Trump mengumumkan pada pertengahan April lalu bahawa pentadbirannya akan menghentikan pembiayaan AS kepada WHO, satu tindakan yang dikritik, dengan ramai pakar mengatakan ia cubaan untuk mengalih kesalahan dan tindakan kontra produktif dalam menangani krisis kesihatan awam.

AS merekodkan lebih 1.7 juta kes Covid-19 dengan 102,000 kematian berdasarkan data Johns Hopkins University. Jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding negara lain yang turut terjejas wabak.