Australia wajibkan suntikan vaksin Covid-19

SYDNEY: Perdana Menteri Australia, Scott Morrison, akan mewajibkan semua 25 juta rakyatnya mengambil vaksin Covid-19, sekali gus mencetuskan perdebatan hangat mengenai perkara itu.

Selepas mencapai persetujuan untuk menghasilkan vaksin yang dibangunkan AstraZeneca dan Universiti Oxford, Morrison berkata, vaksin berkenaan wajib diambil semua rakyat negara itu.

“Hanya mereka yang mempunyai alasan munasabah dari segi perubatan akan dikecualikan daripada mengambil vaksin ini,” katanya kepada stesen radio 3AW di Melbourne.

Menurutnya, pihaknya juga menjangka bantahan daripada kumpulan antivaksin tetapi menegaskan bahawa risiko terlalu besar untuk membiarkan pandemik itu menular tanpa kawalan.

“Kita bercakap mengenai pandemik yang memusnahkan ekonomi global dan meragut ratusan ribu nyawa di seluruh dunia.

“Walaupun kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan, dianggarkan sehingga 95 peratus penduduk Australia perlu menjadi kebal terhadap virus ini sebelum ia dapat dihapuskan.

“Kita memerlukan maklum balas paling komprehensif untuk membolehkan Australia kembali normal,” katanya.

Menurutnya, vaksin itu akan diberikan secara percuma kepada semua rakyat.

Australia adalah negara yang berpegang kepada dasar ‘tiada suntikan, tiada aktiviti’, yang mewajibkan kanak-kanak mengambil vaksin untuk penyakit seperti polio dan kancing gigi sebelum dibenarkan memulakan persekolahan.

Australia mencatatkan 23,989 kes Covid-19 termasuk 450 kematian setakat hari ini.