Baguma pun boleh kahwin tiga kali la…

Kampala: Cinta itu buta. Itu perumpamaan yang dapat diberikan kepada lelaki yang digelar sebagai ‘lelaki Uganda paling hodoh’ apabila dia sekali lagi mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihannya.

Buktinya, Godfrey Baguma, 47, yang juga seorang pelawak di negaranya dilaporkan baru berkahwin buat kali ketiga dengan wanita pilihannya.

Portal Kompas yang memetik laporan Tuko.co melaporkan, tiada tarikh tepat berhubung majlis perkahwinan lelaki itu, namun ia dilaporkan berlangsung dengan meriah berdasarkan gambar yang tular di media sosial.

Godfrey menerima gelaran lelaki paling jelik pada 2002 selepas mengambil bahagian dalam sebuah pertandingan.

Dia menyertai acara itu dengan tujuan mendapatkan wang bagi membantu keluarganya.

Selepas dinobatkan sebagai pemenang, Godfrey mencipta nama sebagai penyanyi dan kini menjadi salah seorang selebriti di Uganda.

Di sebalik kekurangannya kerana memiliki struktur wajah yang senget, Godfrey pernah mendirikan rumah tangga sebanyak dua kali.

Malah, Godfrey baru dikurniakan seorang anak perempuan tahun lalu hasil perkahwinan dengan isteri keduanya, Kate Namanda, 30.

Ia adalah cahaya mata kelima untuk pasangan berkenaan.

Dia mempunyai dua lagi anak hasil perkahwinan pertamanya, tetapi dia dan isterinya itu bercerai kerana wanita terbabit dipercayai curang.

Keadaan kesihatan Godfrey juga dilaporkan merosot pada akhir 2016.

Doktor yang merawatnya, Tony Wilson daripada Hospital Mbarara mendapati sebahagian otak lelaki itu mengalami tekanan akibat bentuk kepalanya yang tidak normal.

Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) juga menunjukkan Godfrey menghidap fibrodysplasia yang mempengaruhi pertumbuhan sel.

Masalah itu juga menyebabkan tekanan di dada yang menyebabkan lelaki itu sukar bernafas.