Bahrain didakwa khianati rakyat Palestin

Baitulmaqdis: Pihak berkuasa Palestin menyifatkan persetujuan Bahrain yang mahu menandatangani perjanjian bagi memulihkan hubungan dengan Israel adalah pengkhianatan kepada rakyatnya.

Bernama yang memetik agensi berita Anadolu melaporkan Palestin tidak menerima perjanjian yang dibuat secara tiga pihak membabitkan Bahrain, Amerika Syarikat (AS) dan Israel itu.

“Kepemimpinan Palestin menolak sama sekali pengumuman tiga pihak – Bahrain, AS dan Israel untuk memulihkan hubungan antara Bahrain dan Israel,” kata jurucakap Palestin.

Selain itu, kenyataan sama berkata, langkah Bahrain itu hanya merencatkan Inisiatif Damai Arab 2022 dan resolusi yang dibuat oleh negara Arab dan sidang kemuncak Islam.

Dalam pada itu, Kumpulan Hamas menyifatkan perkembangan terbaharu itu sebagai perjanjian abad ini oleh AS yang hanya melenyapkan perjuangan rakyat Palestin.

Terdahulu, Perdana Menteri Israel mengalu-alukan pengumuman yang dibuat Presiden AS Donald Trump berhubung perjanjian bagi memulihkan hubungan antara Israel dan Bahrain.

Ia diumumkan sebulan selepas UAE dan Israel mengumumkan akan menandatangani perjanjian antara kedua pihak atas tajaan AS.

Antara lain, ia bakal menyaksikan kedua negara akan membenarkan pembukaan pejabat kedutaan di wilayah masing-masing.

Bahrain menjadi negara Arab keempat yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, selepas Mesir pada 1979, Jordan (1994) dan UAE (2020)

Dalam pada itu, AFP melaporkan Iran menyifatkan Bahrain sebagai rakan jenayah kepada Israel selepas kedua-dua pihak mengumumkan akan menandatangani perjanjian berkenaan.

“Pemerintah Bahrain dari saat ini akan digelar sebagai rakan jenayah kepada rejim zionis yang menjadi ancaman terbesar terhadap keselamatan negara rantau ini dan dunia Islam,” kata kementerian luar negara itu dalam satu kenyataan.

12HMgas

TENTERA Israel menembak gas pemedih mata ke arah rakyat Palestin di sebuah kawasan perkampungan di Tebing Barat pada 11 September. FOTO AFP