Bahrain, UAE ‘berdamai’ dengan Israel

Washington: Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Selasa secara rasmi

menandatangani perjanjian Israel pada Selasa bagi memulihkan hubungan dengan negara berkenaan.

Ia ditandatangani pada majlis di Rumah Putih dengan disaksikan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.

Bahrain dan UAE diwakili oleh menteri luar masing-masing, manakala Israel diwakili oleh Perdana Menterinya Benjamin Netanyahu.

Ratusan tetamu menghadiri majlis berkenaan.

Bagaimanapun, kedua pihak tidak berjabat tangan berikutan langkah pencegahan kerana penularan pandemik Covid-19.

Bahrain dan UAE menjadi negara Arab terbaharu menandatangani perjanjian dengan Israel.

Ia selepas Mesir pada 1979 dan Jordan (1994).

Dalam pada itu, Trump ketika bercakap kepada pemberita sebelum acara itu berkata, ada sekurang-kurangnya lima atau negara yang akan mengikut langkah Bahrain dan UAE itu.

Beliau tidak mendedahkan negara berkenaan tetapi menerusi mesyuarat dengan Menteri Luar UAE Abdullah Zayed Al-Nahyan, pemimpin AS itu membayangkan bahawa salah satunya adalah Arab Saudi.

Dalam pada itu, Abdullah ketika ucapannya yang ditujukan kepada Netanyahu berkata: “Saya berdiri di sini hari ini untuk berdamai dan menerima perdamaian.”

“Terima kasih kerana memilih keamanan dan menangguhkan pemilikan tanah secara paksa di wilayah Palestin,” katanya sambil merujuk kepada Palestin.

Menteri Luar Bahrain Abdullatif al-Zayani pula menegaskan mengenai keperluan dua negara untuk menyelesaikan konflik Israel-Palestin.