Bakal isteri rupanya milik orang

Hanoi: Luluh hati seorang lelaki Vietnam ini apabila mengetahui bakal isterinya bukan berstatus bujang, tetapi sudah bersuami dan mempunyai dua anak.

Lebih menyedihkan, Duc H yang menetap di Bac Yen, bandar Lang Son, utara Vietnam hanya mengetahui hakikat sebenar, tiga hari menjelang majlis perkahwinannya dengan wanita itu.

Duc mengumumkan pembatalan majlis perkahwinannya dengan Nguyen Thi Thu H dari Vu Lang, melalui satu hantaran di Facebook (FB).

“Buat ahli keluarga dan rakan, Duc H membatalkan perkahwinannya.

“Mohon maaf atas segala-galanya. Tolong sebarkan kepada yang lain,” katanya dalam Tribunnews yang memetik portal Eva.vn.

Dalam hantaran sama, Duc turut menyertakan gambar praperkahwinannya dengan wanita dicintainya itu.

Ramai kenalannya memberikan semangat untuk lelaki itu melalui ujian hidupnya itu.

Duc berkata, keputusan itu diambil berikutan mengetahui calon isterinya itu sebenarnya sudah berkahwin dan mempunyai anak.

Katanya, dia berkenalan dengan wanita itu menerusi FB dan menyedari kelakuan wanita itu agak mencurigakan apabila tidak mahu berterus terang mengenai perkara peribadi.

Malangnya, keluarga wanita itu turut sama bersubahat dengan tidak menjelaskan status perkahwinan anak mereka.

Rahsia wanita itu hanya terbongkar apabila suami wanita itu menghubungi Duc selepas lelaki itu memuat naik hantaran gambar praperkahwinan.

Difahamkan, Duc yang menetap bersama orang tuanya kini masih belum menemui pengganti dan bergiat aktif sebagai seorang vlogger.

Sementara itu, berita mengenai bekas calon isterinya itu tidak lagi diketahui selepas rahsianya memiliki suami dan dua anak, terbongkar.