Bakat si kudung main bola keranjang

BEIJING: Biarpun kudung sebelah tangan, seorang remaja lelaki tidak menjadikannya penghalang untuk aktif dan mengasah bakat dalam sukan bola keranjang di gelanggang.

Portal Shine melaporkan, kisah Zhang Jiacheng mendapat perhatian warganet di China selepas videonya membawa bola tular di laman sosial.

Rakaman video itu menunjukkan bagaimana Zhang membawa bola ketika berhadapan dengan pemain bola keranjang profesional dan menerima sorakan gemuruh daripada penonton yang hadir.

“Tangan kanan kamu hilang dalam keadaan yang menyakitkan tetapi kamu memiliki tangan kanan yang terbaik.

“Malah, kamulah bintang sebenar dalam permainan ini,” kata bekas pemain CBA, Wang Jing selepas menonton aksi permainan Zhang.

Remaja berusia 13 tahun itu sudah memuat naik 13 video aksinya bermain bola keranjang di Douyin dan meraih hampir 1 juta tanda suka.

Zhang dilahirkan di Guangdong iaitu wilayah di selatan China dan kudung tangan kanannya pada usia lima tahun akibat kemalangan jalan raya.

Namun, Zhang enggan menjadikan apa yang berlaku sebagai pematah semangat kerana impiannya adalah bergelar pemain bola keranjang.

Ada yang mempersoalkan keupayaannya bermain bola keranjang dengan sebelah tangan.

Zhang membuktikan dia boleh melakukannya dengan kerja keras.

Kesungguhan Zhang dapat dilihat apabila dia tetap akan berlatih sekalipun ketika cuaca hujan dan ia membuahkan hasil apabila prestasinya menunjukkan peningkatan.