Banduan, jururawat positif Covid-19

Singapura: Tiga banduan yang baru dimasukkan ke penjara dan seorang jururawat yang bertugas di Kompleks Penjara Changi disahkan dijangkiti Covid-19, semalam.

Berita Harian Singapura melaporkan, keempat-empat mereka tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain dan tiada kes jangkitan selanjutnya timbul daripada kes ini, kata Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) menerusi satu kenyataan hari ini.

Tiga banduan itu baru dimasukkan ke penjara dan masih menjalani pengasingan kohort ketika diuji positif Covid-19 selepas ujian swab dilakukan.

Mereka segera diasingkan daripada banduan baru lain dan ditempatkan di kemudahan penjara berasingan.

Dua daripada banduan itu telah pulih dan dibenarkan keluar dari kemudahan berkenaan.

Sementara itu, seorang lagi banduan dilaporkan dalam keadaan sihat dan diuji negatif bagi virus itu, namun terus diasingkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Jururawat daripada penyedia khidmat perubatan SPS yang dijangkiti itu juga telah pulih dan kembali bertugas.

SPS berkata, mereka telah mengambil pelbagai langkah berjaga-jaga bagi kedua-dua banduan dan kakitangan, termasuk memisahkan semua banduan yang baru dimasukkan ke Penjara Changi daripada banduan lain selama 14 hari.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19