Banduan merusuh di penjara Argentina

Buenos Aires: Puluhan banduan di penjara Villa Devoto di ibu kota Argentina merusuh bagi meminta langkah kesihatan segera diambil selepas terdapat kes positif Covid-19 dikalangan warden.

Polis dilihat mengepung penjara yang menempatkan 2,200 banduan dan wartawan AFP yang berada ditempat kejadian melaporkan ada kedengaran bunyi letupan.

Sekumpulan banduan berjaya memanjat bumbung dan membakar beberapa tilam selain melemparkan objek terhadap pegawai keselamatan yang cuba mengawal keadaan.

Kedengaran juga banduan menjerit meminta kes mereka didengar hakim dan meminta perlindungan daripada pandemik Covid-19 serta minta dibebaskan.

Beberapa hari lalu, seorang warden di penjara itu disahkan dijangkiti wabak Covid-19.

Beberapa rusuhan lain turut berlaku di penjara sepanjang minggu lalu, termasuk di Florencio Varela di wilayah Buenos Aires yang membawa kematian seorang banduan dan 20 cedera.

Argentina kini dalam perintah berkurung sejak 20 Mac lalu.

Mereka merekodkan lebih 3,400 kes jangkitan dengan 167 kematian akibat Covid-19.