Bangladesh laksanakan hukuman mati untuk perogol

Dhaka: Bangladesh memperkenalkan hukuman mati untuk jenayah rogol selepas tunjuk perasaan berlangsung selama beberapa hari yang dicetuskan oleh kejadian serangan seksual.

Tunjuk perasaan itu meletus di seluruh negara selepas rakaman mengerikan sekumpulan lelaki melucutkan dan menyerang seorang wanita menjadi viral di media sosial.

Klip itu mencetuskan kemarahan di negara Asia Selatan, di mana aktivis mengatakan hanya sebilangan kecil mangsa serangan seksual mendapat keadilan.

Perdana Menteri, Sheikh Hasina turut berdepan protes dalaman dalam barisan parti pemerintah atas tindakannya yang disifatkan tidak berkesan, sebelum kerajaannya meluluskan cadangan hukuman berkenaan dalam pertemuan di Dhaka.

Menteri Keadilan, Anisul Huq memberitahu AFP bahawa, undang-undang itu akan dikuat kuasakan mulai esok.

Sebelum ini, hukuman maksimum untuk jenayah rogol adalah penjara seumur hidup.

Kemarahan rakyat terhadap isu itu semakin memuncak sejak bulan lalu, ketika anggota sayap pelajar parti pemerintah ditangkap dan didakwa dalam kes rogol berasingan.

Penunjuk perasaan di Dhaka dan di tempat lain menuntut hukuman lebih tegas untuk pemerkosaan, perbicaraan yang lebih pantas untuk perogol dan penamatan apa yang mereka lihat sebagai budaya tidak sopan.

Sebilangan penunjuk perasaan meminta Hasina meletak jawatan, penolakan masyarakat yang luar biasa di negara di mana kritikan terbuka terhadap perdana menteri dilihat semakin jarang berlaku.

Tunjuk perasaan berterusan pada hari ini di Dhaka walaupun dalam cuaca hujan lebat, di mana beratus-ratus orang mengecam penangkapan pemimpin pelajar baru-baru ini oleh pihak berkuasa yang cuba menekan penunjuk perasaan.

Bangladesh telah menggantung 23 individu sejak 2013 sementara sekurang-kurangnya 1,718 lagi sedang menanti hukuman mati.