Bantah hantar harimau ke zoo

HARIMAU bintang salji yang ditangkap selepas membaham ternakan di perkampungan terpencil di Himalaya akan dihantar ke zoo berbanding dilepaskan.

Tindakan pihak berkuasa tempatan itu bagaimanapun membangkitkan kemarahan aktivis haiwan.

Spesies diancam kepupusan terbabit ditemui pada Sabtu, selepas terperangkap dalam kandang kambing dan biri-biri di kampung Giu dekat sempadan Tibet di Himachal Pradesh, utara India.

“Kucing besar itu tidak dapat keluar selepas membaham beberapa ternakan,” kata wakil rasmi hidupan liar, Hardev Negi yang mengetuai pasukan menangkap harimau terbabit kepada AFP.

Menurutnya, penternak menghubungi pihaknya dan mereka hadir untuk menangkap haiwan itu.

Ketua Hidupan Liar Negeri, Savita Sharma memberitahu bahawa harimau bintang berkenaan tidak akan dilepaskan sejak insiden membabitkan konflik manusia-hidupan liar, sebaliknya ia akan dihantar ke zoo di kaki gunung di luar pusat bandar Shimla.

Pihak berkuasa menjangkakan haiwan itu ‘membunuh’ 43 kambing dan biri-biri dalam tempoh lebih empat hari.

Sharma berkata, ketika ini hanya ada 44 harimau bintang salji hidup di lembah Himacha Pradesh.

Dalam pada itu, Rajeshwar Negi daripada Pemerhati Alam Semula Jadi Kebangsaan India mengutuk tindakan menghantar haiwan itu ke zoo yang menyekat kebebasannya untuk hidup.

“Tidakkah mereka tahu betapa tertekannya bagi haiwan untuk dipindahkan dalam perjalanan berliku sejauh 350 kilometer.

“Adakah ini bermakna harimau bintang itu akan menghabiskan hidupnya di zoo berbanding hutan Himalaya?” katanya yang memberitahu haiwan itu akan menderita dalam suhu lebih tinggi dalam zoo berbanding habitat semula jadinya.