Bapa awet muda bagai ‘kekasih’

Beijing: Pada pandangan mata kasar, mereka nampak seolah-olah pasangan romantik, namun tiada siapa menyangka mereka sebenarnya anak dan ayah.

Qi Bao, 15, dan bapanya yang berusia 35 tahun sangat rapat hingga ada yang tersilap dengan menyangka mereka pasangan kekasih.

Ia memandangkan semakin dia meningkat remaja, bapanya pula kelihatan awet muda.

Ini menyebabkan ada guru dan rakannya bertanyakan sama ada dia mempunyai teman lelaki yang menuntut di kolej.

Jika dilihat pada gambar, mereka nampak seperti sebaya walaupun hakikatnya perbezaan umur antara mereka adalah 20 tahun.

Oddity Central melaporkan dua beranak dari Lanzhou di wilayah Gansu itu menarik perhatian warganet selepas gemar memuat naik video mereka di media sosial sejak 2017.

Ia sebagai sekadar suka-suka dan bertujuan mengukuhkan pertalian kekeluargaan.

Dua beranak itu dikatakan mempunyai ribuan pengikut. Mereka juga sering dipuji warganet kerana memiliki keserasian ketika beraksi di hadapan kamera.

Bagaimanapun, populariti mereka melonjak selepas tampil dalam satu video yang membincangkan mengenai penampilan si bapa yang awet muda.

Sehingga kini, video berkenaan dikongsi oleh banyak organisasi media di China.

Qi berkata, disebabkan penampilan bapanya yang gemar bergaya, mereka sering disalah anggap sebagai pasangan kekasih.

Dalam pada itu, gambar Qi sebagai kanak-kanak bersama ayahnya mendedahkan si bapa itu mempunyai raut wajah yang keanak-anakan.