Bapa tergamak bunuh anak

Jakarta: Tertekan tidak dapat menerima hakikat sekiranya dirinya sah dijangkiti Covid-19, seorang lelaki di Indonesia hilang pertimbangan dan membunuh anaknya sendiri.

Selepas itu, lelaki itu cuba membunuh diri menggunakan pisau.

Kompas.com melaporkan Endro Gunawan, 48, dari Jawa Tengah membunuh anak perempuannya yang berusia 12 tahun, Khamis lalu

Ia selepas dia menjangka dijangkiti wabak itu daripada anaknya yang sudah lama menderita penyakit asma.

Media tempatan melaporkan Endro sebelum itu menjalani saringan Covid-19 dan hasilnya negatif.

Lelaki itu juga melakukan ujian calitan dan keputusannya sepatutnya diketahui semalam.

Namun, sebelum keputusan itu diperoleh, Endro yang tertekan bertindak membunuh anaknya.

Perbuatan lelaki itu hanya diketahui isterinya, Mulyati selepas wanita itu pulang ke rumah.

Dia terperanjat mendapati suaminya cedera, tetapi masih bernyawa di atas lantai.

Mangsa pula dilihat dalam keadaan ‘nyawa-nyawa ikan’ di sofa dengan keadaan lehernya dijerut kain sarung.

Endro dan anak perempuannya kemudian dikejarkan ke hospital berdekatan.

Namun, ketika dalam perjalanan, budak itu disahkan meninggal dunia.

Dalam pada itu, Endro memberitahu polis bahawa dia memukul dan menjerut leher anaknya menggunakan kain.

Lelaki itu mendakwa bertindak demikian akibat mengalami tekanan kerana menyangka dirinya dijangkiti Covid-19.

Ketua Polis Kudus Aditya Surya Dharma mengesahkan pihaknya turut menemui kertas yang mengandungi pesanan ditulis Endro.

“Maafkan kami, semoga kita dapat berjumpa lagi.

“Kebumikan kami dalam satu liang lahad, dengan mematuhi protokol kesihatan,” begitu kata-kata pesanan ditulis lelaki itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19