Bapa tiri durjana

SINGAPURA: Seorang lelaki di Singapura menjadikan anak tirinya alat pemuas nafsu selama enam tahun kononnya sebagai hukuman akibat gagal memahami pelajaran.

Dilaporkan Channel News Asia, perbuatan terkutuk lelaki berusia 43 tahun itu hanya diketahui keluarga mangsa selepas enam tahun kejadian berlaku sebelum ibu kanak-kanak itu meminta cerai.

Berdasarkan pendakwaan kes, lelaki itu memaksa anak tirinya berusia 12 tahun melakukan perbuatan seksual sejak 2012 apabila mereka menetap bersama.

Selepas pulang sekolah, kanak-kanak itu diajar oleh lelaki itu dan akan didenda, jika tidak faham apa yang diajarkannya.

Tertuduh memukul muka kanak-kanak itu menggunakan tangan atau majalah tebal dan memaksanya berdiri di luar rumah beberapa jam sehingga tengah malam.

Timbalan Pendakwa Raya, Goh Yi Ling berkata, hukuman terbabit membuatkan kanak-kanak itu takut dengan bapa tirinya sebelum lelaki durjana itu menawarkan satu lagi pilihan alternatif iaitu memuaskan nafsu seksnya.

Taktiknya, mereka akan bermain satu permainan dan apabila anak tirinya kalah dia perlu memuaskan nafsunya, sekurang-kurangnya sekali seminggu ketika isterinya tiada.

Akibat tekanan, anak tirinya sering menangis dalam bilik dan pernah cuba mencederakan dirinya sendiri kerana tidak dapat memberitahu sesiapa selepas diancam bapa tirinya.

Rahsia lelaki itu terbongkar selepas guru kanak-kanak itu perasan dia dipukul dengan teruk.

Tertuduh didapati bersalah semalam, ke atas lima pertuduhan mencabul kehormatan mangsa selain berdepan 10 lagi tuduhan sama.

Sabit kesalahan suspek boleh dihukum penjara lima tahun atau denda 10,000 dolar Singapura (RM30,500) atau kedua-duanya.

Sementara itu, bagi setiap tuduhan menghina kehormatan, dia berdepan hukuman maksimum penjara setahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Perbicaraan ditangguhkan sehingga 30 Jun ini.