Bar di Rome larang perbualan berkaitan Covid-19

Rome: Sebuah bar di pinggir bandar ini ‘mengharamkan’ perbualan berkaitan koronavirus, sekatan pergerakan dan virus di kalangan pelanggannya.

Ini kerana, pengendali bar berkenaan mahu pelanggannya melupakan seketika isu berkaitan pandemik Covid-19 dan hanya menikmati kopi yang dihidangkan.

Pengurus bar Feeling, Cristina Mattioli berkata, larangan berkenaan dibuat dalam bentuk poster dengan tulisan tangan yang diletakkan berhampiran kaunter.

“Kita asyik bercakap mengenai perkara sama sejak berbulan-bulan lalu. Jadi kami membuat keputusan untuk menghilangkan sedikit kekusutan di sini,” katanya.

Sebagai negara Eropah pertama yang dibadai Covid-19, Itali telah dibayangi pandemik berkenaan lebih lama berbanding negara lain dan melaksanakan sekatan pergerakan yang ketat.

Malah, jumlah kematian juga antara yang tertinggi dicatatkan di dunia.

“Kami bukan mahu menafikan apa yang berlaku, tetapi ini adalah cara untuk ‘merehatkan’ diri daripada memikirkan mengenai Covid-19,” katanya.

Seorang pelanggan setia bar berkenaan, Bruna Piazza berkata, dia berpendapat bahawa ia adalah idea yang bagus.

“Kami mula bosan bercakap mengenai Covid-19. Ke mana saja kami pergi, itulah yang akan diperkatakan.

“Saya gembira untuk bercakap mengenai perkara lain sama ada berkaitan cuaca atau selebriti, dan bukan mengenai Covid-19,” katanya.