Baru nak belajar niaga, dah dirompak

LONDON: Nasib malang menimpa seorang kanak lelaki apabila kesemua wang hasil jualannya yang hanya bernilai Pound Sterling 40 (kira-kira RM214) dirompak pagi Isnin lalu.

Mirror UK melaporkan, hasil perniagaan Harry Clare yang baru berusia lima tahun dirompak tanpa belas kasihan dan yang tinggal hanyalah meja serta papan tanda kedainya.

Difahamkan, Harry menjual telur dan susu kambing di luar rumah keluarganya untuk membeli majalah kanak-kanak iaitu Paw Patrol dan Peter Rabbit.

Kisah usahawan cilik itu mengundang simpati warganet selepas kisahnya dikongsikan seorang pencari barangan antik, Philip Serrell di Twitter.

Perkongsian itu mendapat lebih 15,000 ulang ciap dan ratusan komen termasuk dari New York, Sepanyol, Itali dan Scotland dengan rata-ratanya menzahirkan sokongan selain menawarkan diri untuk membantu keluarga Harry.

“Ini Harry, dia berusia lima tahun dan menjalankan perniagaan kecil berhampiran bilik jualan saya.

“Seseorang mengambil wang dan barangan jualan. Mereka tentunya malu apabila terbaca ciapan ini dan saya harap mereka dapat tidur dengan nyenyak,” katanya.

Ibunya, Rosie Clare, 35 berkata, anaknya itu menjalankan perniagaan itu selepas buku menceritakan mengenai kisah peniaga.

“Kebetulan, kami menghasilkan sendiri produk susu kambing, salap bibir dan sabun jadi kesemua barangan itu diletakkan di kedai Harry untuk dijual.

“Sejak bermulanya perniagaan itu, Harry sentiasa menjaga tapak jualannya itu selain menambah barangan mengikut keperluan dan dia benar-benar seronok melakukannya.

“Disebabkan itu, Harry sedih dengan apa yang berlaku kerana tidak faham mengapa dia diperlakukan sebegitu. Namun, saya cuba memujuknya dengan mengatakan pelaku mungkin bertindak sedemikian kerana terdesak,” katanya.